Ringkasan AI
- Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS) sempena Aidilfitri.
- TBG akan melalui tempoh percubaan pengoperasian pada 15 Mac, dengan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur dan kemudian mengambil penumpang untuk laluan sama.
- TBG mempunyai tiga mod pengangkutan (bas, LRT, ECRL) dan menyediakan kemudahan seperti kedai runcit, premis makanan, dewan serba guna, dan platform khas untuk OKU.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sekiranya TBG boleh beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, maka kesesakan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS) dapat dikurangkan pada musim perayaan nanti.
Loke berkata TBG akan melalui tempoh percubaan pengoperasian pada 15 Mac ini dengan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur sebelum memulakan perkhidmatan mengambil penumpang untuk ke laluan sama seminggu kemudian.
"Kementerian bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat pemeriksaan akhir pada minggu depan dan kita jangkakan operasi terminal tersebut (bermula) pada 15 Mac ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan operasi TBG dan ketersambungan infrastruktur terminal itu dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) Gombak di sini hari ini.
Loke berkata buat masa ini, TBG tidak membuka kaunter jualan tiket untuk ke Pantai Timur namun pengguna masih boleh mendapatkannya di TBS.
Beliau berkata TBG mempunyai tiga mod pengangkutan iaitu bas, LRT dan ECRL Gombak yang menyambungkan antara satu sama lain.
"Selain bas ekspres, ia juga menghubungkan bas antara bandar selain diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak dan terdapat stesen ECRL Gombak yang sedang rancak dibina," katanya sambil menambah pembinaan rel itu kini mencapai 79 peratus.
Mengenai lawatannya hari ini, Loke berkata kemudahan infrastruktur yang disediakan mulai siap antaranya kedai runcit, premis makanan dan minuman serta dewan serba guna.
"Saya difahamkan dewan serba guna boleh disewa orang ramai sekiranya ingin mengadakan majlis perkahwinan, parkirnya juga luas. Beberapa platform khas untuk OKU turut disediakan bagi memudahkan pergerakan mereka turun dan naik bas.
"Apabila mereka membeli tiket ada satu ciri yang mereka boleh pilih. Kalau mereka OKU, kena nyatakan bahawa penumpang adalah OKU jadi sistem boleh kesan, maka bas itu akan ditempatkan di platform yang mesra OKU," katanya.
-- BERNAMA
