Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata Pahang menawarkan lokasi yang strategik dan mempunyai kemudahan lengkap untuk aktiviti seumpama itu.
Mengambil contoh penganjuran Kuantan 188 BASE Jump Extreme Challenge 2025, beliau berkata acara sukan ekstrem yang julung kali diadakan di negeri itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat sukan terjunan tersebut dari luar negara dan melihat potensi itu, ia dijangka akan menjadi acara tahunan.
"Acara ini berjaya menghimpunkan seramai 36 penerjun BASE elit dari 13 negara termasuk Malaysia, Finland, Indonesia, Filipina, Rusia, Sweden, Perancis serta penerjun BASE terkenal Justine Beitler dari Las Vegas, Amerika Syarikat.
"Saya difahamkan, ramai yang ingin menyertai acara ini tetapi terpaksa dihadkan kerana hendak memastikan tahap keselamatan peserta. Walaupun jumlah peserta 36 penerjun, tetapi impaknya di seluruh dunia kerana mereka ini akan mempromosi dan menaikkan Kuantan di arena antarabangsa," katanya pada sidang media Acara Kuantan 188 BASE Jump Extreme Challenge 2025 di sini hari ini.
Leong berkata acara tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 13 Feb lepas mendapat tumpuan dunia kerana diadakan di menara kedua tertinggi Malaysia, Menara Kuantan 188 yang mencecah 104 meter.
"Saya difahamkan, sebelum ini ada juga beberapa negeri lain yang turut menawarkan acara ekstrem ini. Cuma menarik di Pahang, ia lebih mencabar apabila penerjun ini dapat melakukan sukan ekstrem di menara kedua tertinggi di Malaysia.
"Dengan ketinggian itu, peserta akan rasa lebih mencabar, puas selain menawarkan pemandangan panorama menakjubkan kerana adanya Sungai Kuantan, Laut China Selatan, hutan paya bakau dan nelayan keluar masuk," katanya.
Beliau berkata acara ekstrem tersebut juga diyakini akan menjadi pembuka tirai tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini selain pelbagai program menarik lain yang akan ditawarkan Pahang bagi menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026.
"Ikut kalender acara pelancongan Tourism Pahang, tahun lepas kita ada lebih 40 acara berkaitan antarabangsa dan peringkat negara. Untuk tahun ini, kita juga menyasarkan untuk mengadakan lebih banyak acara.
"Kalau boleh, kita mahukan ada acara yang signifikan di setiap daerah di negeri Pahang. Jadi untuk Kuantan, sebenarnya sebelum ini kita sudah ada beberapa acara tetapi dengan adanya acara BASE Jump, boleh menambahkan lagi pengisian untuk acara pelancongan di Kuantan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)