ABU DHABI: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan majlis tandatangan kerjasama strategik antara Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melindungi harimau Malaya yang semakin kritikal populasinya. 

Keberangkatan Tengku Mahkota Pahang turut diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed yang turut hadir menyaksikan perjanjian melibatkan kolaborasi dalam melindungi spesies istimewa itu yang semakin terancam.

Projek bernilai RM99.8 juta yang dibiayai oleh Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed itu memberi tumpuan kepada pemuliharaan spesies harimau, pemulihan habitat semula jadi serta pembangunan komuniti setempat.

Usaha itu akan dilaksanakan di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah yang merupakan kawasan perlindungan spesies berkenaan berkeluasan 1,340 kilometer persegi, yang terletak bersebelahan dengan Taman Negara. 

Antara keutamaan projek berkenaan adalah menangani ancaman utama seperti pemburuan haram dan kerosakan habitat sekali gus mengatasi isu kemerosotan populasi harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan. 

Kerjasama itu secara rasmi diumumkan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi dan perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Enggang Holding, Tengku Datuk Aiman Putra Tengku Datuk Sri Kamal Bahrin dan Presiden Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), Razan Al-Mubarak.

Tengku Mahkota Pahang dalam titahnya menyatakan penghargaan terhadap usaha bersama itu serta menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memulihkan populasi harimau Malaya dan mengekalkan keseimbangan ekosistem global. 

“Projek ini melambangkan komitmen kita untuk melindungi warisan alam semula jadi demi generasi akan datang.

"Melalui perpaduan dan usaha kolektif, kita  akan dapat memulihkan habitat serta memastikan spesies ini terus hidup di habitat asalnya,” titah Paduka Baginda. 

Titah Paduka Baginda lagi, langkah itu turut mencerminkan keprihatinan mendalam Malaysia dan UAE terhadap kelestarian alam sekitar, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha global melindungi hidupan liar yang semakin terancam.