Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan orang ramai yang menyifatkan kelesuan pelancongan di Tasik Chini, Tasik Bera mahupun Cherating, disebabkan pengabaian kerajaan negeri dalam mempromosi.
Berdasarkan data Tourism Pahang, kedatangan pelancong ke Cherating adalah 220,567 orang pada tahun lepas berbanding 240,856 orang pada 2023 dan Tasik Chini (946 pelancong pada 2024)
"Kita tidak pernah mengabaikan (lokasi pelancongan) daerah-daerah tetapi kita tidak menafikan, bahawa memang ada daerah yang maju, ada daerah yang mungkin belakang sikit dalam sektor pelancongan disebabkan beberapa faktor.
"(Cherating misalnya), saya boleh menjadi saksi bahawa promosi untuk Cherating tidak pernah diabaikan. Saya sendiri menyaksikan (usaha promosi) seperti B2B, Fam Trip, MIT Pahang, risalah, media sosial, Cherating sentiasa dimasukkan untuk promosi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perancangan Tourism Pahang Tahun 2025, di sini, pada Isnin, yang turut dihadiri Pengarah Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Leong berkata, usaha mempromosikan Cherating tidak tertumpu pasaran domestik tetapi juga antarabangsa, antaranya menerusi ekspo pelancongan dalam dan luar negara serta diskusi bersama pemain industri seperti dari Eropah, Singapura dan China.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kekurangan beberapa infrastruktur di Cherating perlu ditambah baik antaranya melibatkan faktor pencahayaan, struktur jalan raya dan proses ke arahnya untuk mendapatkan bajet lebih besar sedang dilakukan.
"Dalam mesyuarat, kita dimaklumkan bahawa memang ada perancangan jangka panjang yang akan diusahakan melalui Majlis Bandaraya Kuantan untuk Cherating, cuma ia ambil masa untuk dapatkan bajet yang besar.
"Bagi jangka pendek, kita telah mengadakan lawatan tapak ke sana untuk melihat apa yang boleh dilakukan bagi membantu Cherating. (Satu lagi kekangan, akses ke pantai ini tidak seperti pantai lain) banyak hak milik persendirian, jadi pembangunan kerajaan di tanah persendirian ada kekangan dan kita dalam proses menghadapi kekangan ini," katanya. - BERNAMA
