Penurunan paras air di Sungai Golok di Kelantan yang kritikal menyebabkan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai itu kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber air alternatif yang lain termasuk dari sumber air bawah tanah.

Sebelum ini, mereka menggunakan dua sumber air iaitu sungai dan bawah tanah untuk melakukan aktiviti harian dan mereka bimbang sekiranya cuaca panas berpanjangan, Sungai Golok dikhuatiri akan menjadi kering kontang.

Pada masa ini Sungai Golok boleh diseberangi hanya dengan berjalan kaki dengan paras bacaan terkini, pada 3.92 meter.


Penduduk berkata saban hari Sungai Golok susut dan menyejat kerana cuaca panas melampau.

Salah seorang penduduk tebing Sungai Golok, Zaid Mahmud berkata air sungai itu tidak pernah jatuh serendah paras ini.

“Ini baru selepas empat bulan. Kalau jangkaan selepas sembilan bulan, entahlah kering macam mana lagi. Kami terpaksa meminta pertolongan pihak kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk tebing Sungai Golok, Zakaria Chik berkata sekiranya cuaca panas berterusan, air akan dicatu dan pihak kerajaan terpaksa menghulurkan bantuan dengan menghantar air.

Mereka meminta supaya Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) memulakan operasi penghantaran air ke kawasan Rantau Panjang bagi mengatasi masalah kekurangan air bersih yang kini sudah kritikal.

Kebanyakan penduduk di tebing Sungai Golok dan Rantau Panjang menggunakan air di bawah tanah melalui telaga tiub dan perigi untuk sumber air.

Namun cuaca panas dan penyusutan air Sungai Golok menyebabkab telaga tiub mereka turut mengalami kekeringan.