Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata lebuh raya bertol penuh yang menghubungkan Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong, Kota Bharu, Kelantan itu memerlukan penelitian mendalam, termasuk aspek kemampuan pihak konsesi.
"Kita belum memberikan tender kepada mana-mana pihak kerana perlu melalui proses Request for Proposal (RFP) terlebih dahulu. Sama ada syarikat konsesi berminat atau tidak perlu dinilai, memandangkan kadar tol dari hujung ke hujung dianggarkan bernilai RM70. Ini menimbulkan persoalan sama ada lebuh raya ini berdaya saing dan mendapat sambutan.
"Tidak semua 33 konsesi tol ketika ini peroleh keuntungan. Ada juga yang tidak untung. Jadi, LPT 3 ini masih dalam peringkat yang belum ada keputusan muktamad," katanya pada sesi Soal Jawab Lisan.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai komitmen kerajaan dalam memastikan ketelusan penggunaan dana dan pembiayaan projek LPT3, selain senarai cadangan pembinaan lebuh raya baharu di Pantai Timur.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung jumlah projek infrastruktur baharu di Sabah bagi tahun ini, Ahmad memaklumkan bahawa sebanyak 26 projek telah diluluskan bagi tempoh 2024-2025 dengan kos keseluruhan RM18.62 bilion.
Ahmad berkata untuk tahun ini, kos adalah sebanyak RM1.59 billion.
Beliau berkata, projek-projek tersebut kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk perancangan, perolehan, dan pembinaan.
"Antara projek yang terlibat adalah pembinaan serta naik taraf jambatan dan pembentung (11 projek), pembinaan dan naik taraf jalan baharu (sembilan projek), kerja awalan seperti penyediaan reka bentuk, pengambilan tanah dan kajian teknikal (empat projek), serta pelaksanaan 35 pakej Lebuhraya Pan Borneo (tiga projek)," jelasnya.
Menurut Ahmad, KKR dengan kerjasama agensi pelaksana komited untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
-- BERNAMA