Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, empat peguam bela dan peguam cara telah dilantik sebagai ahli pasukan berkenaan iaitu Datuk Muhammad Adam Abdullah, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Shanti Abraham dan Gunavathi Subramaniam.
Pasukan yang terdiri daripada pakar perundangan itu akan mengenal pasti skop dan bidang kuasa pusat tersebut, menentukan jenis kes yang boleh dirujuk dan mencadangkan parameter yang jelas dan komprehensif dalam menyelaraskan perkhidmatan mediasi di Malaysia secara keseluruhan.
"Inisiatif penubuhan pasukan petugas ini diharapkan dapat memperkukuh landskap mediasi negara, memastikan perkhidmatan mediasi dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat, serta mencapai matlamat penyelesaian konflik yang adil, efektif dan harmoni untuk kebaikan bersama," kata BHEUU dalam kenyataan hari ini.
Pasukan itu, katanya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan berkaitan mediasi di Malaysia secara menyeluruh.
BHEUU turut memaklumkan, proses mediasi atau pengantaraan kini semakin mendapat perhatian sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang efektif dan cekap di Malaysia selain melibatkan kos yang lebih rendah berbanding litigasi dan timbang tara.
Selain itu, mediasi turut membantu mengurangkan beban mahkamah dengan membolehkan pihak yang bertikai mencapai penyelesaian secara rundingan dengan dibantu oleh pihak ketiga yang neutral iaitu pengantara (mediator).
"Namun, landskap mediasi semasa menghadapi beberapa cabaran, seperti kurangnya koordinasi antara penyedia perkhidmatan, kesedaran awam yang rendah tentang manfaat mediasi, kekurangan program pembangunan kapasiti untuk pengantara serta tiada piawaian bagi latihan dan pentauliahan pengantara," katanya.
BHEUU berkata penubuhan Pusat Mediasi MADANI diharap dapat menangani isu itu dan merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian secara aman di luar mahkamah.
Pusat itu juga diharapkan dapat mengutamakan pendekatan berpusatkan rakyat (people centric) dalam perkhidmatan mediasi bagi menjamin akses keadilan yang lebih mudah dan saksama.
-- BERNAMA