Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ia juga dipercayai punca lelaki berusia lingkungan 40-an itu bertindak melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu sejauh kira-kira lima kilometer sebelum diberkas polis.
Ujar beliau, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi apabila anggota polis dari Cawangan Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Jalan Haji Manan.
"Ketika cuba diperiksa, suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri.
"Polis mengejar suspek sejauh lebih lima kilometer sebelum berjaya menahannya di hadapan lampu isyarat Kluang Mall," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui dadah jenis heroin.
"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memiliki dan mengedar dadah.
Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 44(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan nyawa pengguna lain.
"Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.
Katanya, siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh turut dibuka.
Bahrin berkata, suspek bakal berdepan enam pertuduhan dan reman akan dipohon di Mahkamah Batu Pahat, hari ini. - Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)