Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak bersepakat untuk memperluaskan peluang perniagaan, berkongsi kepakaran dan melaksanakan program serta projek secara bersama.
Presiden PAUiTM, Saiful Azhar Shaharun berkata PAUiTM komited dalam memperluaskan jaringan serta memperkasakan gerakan alumni melangkaui program dan inisiatif lazim dengan lebih 800,000 alumni yang tersebar di seluruh negara dan luar negara. Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Tambah beliau, kerjasama dengan Royale Chulan Kuala Lumpur menerusi BHRSB disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkasakan jaringan alumni UiTM bersama industri dalam perkembangan ekonomi.
“Royal Chulan Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah hotel, tetapi juga lokasi yang menyimpan banyak nostalgia buat alumni dan warga UiTM. Kerjasama ini bakal membuka ruang lebih luas kepada alumni untuk mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa alumni UiTM akan menikmati pelbagai keistimewaan termasuk diskaun eksklusif untuk penginapan dan perkhidmatan di rangkaian hotel Royale Chulan. PAUiTM juga berharap dapat menerima manfaat daripada setiap kempen promosi yang melibatkan alumni UiTM dan BHRSB.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHRSB, Datuk Rosthman Ibrahim, menjelaskan bahawa kerjasama ini membolehkan alumni UiTM menikmati harga promosi yang lebih kompetitif serta diskaun menarik untuk penginapan dan kulinari di Royale Chulan Hotel.
“Royale Chulan Hotel telah menganjurkan sesi perbincangan meja bulat yang dihadiri oleh hampir 30 tenaga pakar UiTM bagi membincangkan inisiatif ‘Malaysia Hospitality Culture’. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada 10 elemen utama, termasuk kebudayaan Malaysia, adat masyarakat dan promosi menu tradisional untuk memperkasa sektor pelancongan negara.
“Sebagai tambahan kepada manfaat ekonomi dan pembangunan, kerjasama ini juga akan membuka peluang bagi alumni UiTM untuk lebih aktif dalam membangunkan sektor hospitaliti tempatan. Dengan penyertaan alumni dalam pelbagai program dan inisiatif bersama BHRSB, ia bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau turut memperkenalkan kempen ‘5 Salam’ yang mewajibkan kakitangan Royale Chulan untuk mengamalkan sapaan mesra seperti ‘Selamat Datang’, ‘Selamat Pagi/Petang/Malam’, ‘Terima Kasih’, ‘Sama-sama’, dan ‘Jumpa Lagi’ sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan budaya dan bahasa Malaysia dalam hospitaliti. Beliau juga memaklumkan bahawa hampir 100 kakitangan Royale Chulan Hotel kini terdiri daripada alumni UiTM, dan syarikat itu berhasrat untuk terus memperluaskan peluang kerjasama dengan UiTM dan PAUiTM.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Mustaffa Kamil Ayub turut menzahirkan penghargaan dan tahniah atas pemeteraian kerjasama ini.
“Lembaga Pengarah UiTM amat berbangga dengan pencapaian alumni UiTM dan berharap kerjasama ini dapat membuahkan hasil berimpak tinggi serta memberi manfaat berterusan kepada universiti dan alumni,” katanya.
Beliau turut menggesa lebih ramai alumni UiTM untuk memainkan peranan dalam memartabatkan universiti melalui pendekatan holistik serta menjalin kerjasama strategik bernilai tinggi.
“UiTM memiliki tanah yang luas dan berpotensi untuk dimajukan oleh alumni yang berkemahiran, sekali gus memberikan pulangan semula kepada universiti. Nota Kerjasama ini adalah langkah strategik yang bakal merapatkan hubungan antara institusi akademik dan industri hospitaliti, sekali gus memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh ekosistem alumni UiTM dalam pelbagai sektor," tambah beliau.