Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mangsa itu pada bulan lepas.
"Kedua-dua mangsa berusia 55 (pegawai bank) dan 57 tahun (eksekutif jualan), membuat laporan masing-masing pada 25 Jan dan 31 Jan," katanya dalam sidang media JSJK di sini hari ini.
Ramli berkata pegawai bank itu mendakwa telah memindahkan RM1.87 juta untuk melabur dalam skim pelaburan menerusi aplikasi UVKXE manakala eksekutif jualan itu pula melabur RM466,800 dalam skim pelaburan menerusi aplikasi Arcadia Equity.
Beliau berkata siasatan awal mendedahkan eksekutif jualan itu tertarik dengan pulangan 70 peratus ke atas pelaburan yang dijanjikan oleh skim pelaburan Arcadia Equity.
"Mangsa wanita itu melakukan 16 transaksi ke 10 akaun bank membabitkan RM466,800 tetapi tidak pernah melihat sebarang pulangan yang dijanjikan," katanya.
Ramli berkata pegawai bank itu terjebak dengan penipuan pelaburan UVKXE melalui mesej WhatsApp yang menawarkan pulangan antara 10 dan 50 peratus.
"Mangsa lelaki itu kemudiannya mula memindahkan RM1.87 juta ke 17 akaun bank berbeza dan diberitahu untuk menghadiri acara yang dikaitkan dengan skim pelaburan itu di sebuah hotel di sini.
"Lelaki itu bagaimanapun menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila dia pergi ke hotel berkenaan dan mendapati tiada sebarang tempahan dibuat berkaitan majlis tersebut," katanya.
Ramli berkata pihaknya menerima 41 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM28.3 juta setakat ini melibatkan dua skim pelaburan tersebut.
-- BERNAMA