PUTRAJAYA: Seorang pegawai perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) ditemui meninggal dunia di pejabatnya di sini pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Seorang pegawai perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) ditemui meninggal dunia di pejabatnya pada Rabu.
  • Hasil pemeriksaan awal tiada unsur jenayah dijumpai, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
  • Kementerian Kewangan mengesahkan insiden tersebut dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mendapati lelaki berusia 45 ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabat.

"Kita menerima laporan mengenai kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada jam 10.56 pagi, sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rusdi berkata, hasil pemeriksaan awal tiada unsur jenayah dijumpai di lokasi kejadian.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) mengesahkan terdapat satu insiden kematian di kompleksnya.

Menerusi kenyataan, MoF memaklumkan keluarga dan waris telah diberitahu berkenaan perkara itu oleh pihak berkuasa.

"MoF turut berdukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga waris.

"Pihak kementerian memberi kerjasama penuh dan menyerah perkara ini kepada polis untuk siasatan," katanya pada Rabu. -Sinar Harian