KUCHING: Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan di Jalan Airport, Miri, bahagian utara Sarawak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri Alexson Naga Chabu berkata dalam insiden kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang merupakan pejalan kaki telah dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Fortuner.

"Hasil siasatan mendapati pemandu kereta, seorang lelaki berusia 42 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke Luak apabila mangsa tiba-tiba melintas jalan.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di Kuching, seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai terjatuh dari bangunan Vivacity Megamall ditemui meninggal dunia pada 12.03 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata setelah menerima aduan, polis segera tiba di lokasi dan mendapati mangsa tertiarap tanpa baju dan hanya berseluar panjang hitam.

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

--BERNAMA