IPOH: Seorang pekerja warga Myanmar cedera selepas tangan kanannya tersepit pada mesin penghancur gula batu di sebuah kilang di Jalan Jelapang di sini hari ini

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.08 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Lelaki berusia 21 tahun dikenali sebagai Myo Theo Wai itu mengalami kecederaan patah empat tulang dari pergelangan tangan kanan hingga siku setelah tersepit pada mesin tersebut.

"Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik hingga mangsa berjaya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sabarodzi berkata mangsa dibawa ke hospital yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 9.42 pagi.

-- BERNAMA