Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pelaburan K-33 Investors Club melalui iklan di aplikasi Facebook.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut menekan pautan yang disediakan dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
"Mangsa kemudian dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Professor Rahmond Goh', kononnya seorang tenaga pengajar dalam pelaburan tersebut.
"Mangsa diberi penerangan mengenai pelaburan itu dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.
"Selepas mengikuti pelaburan tersebut selama dua minggu, mangsa diarahkan untuk mendaftar sebagai pelabur baru di platform DIGZAX.COM," katanya dalam kenyatan di sini, pada Jumaat.
Hussein memberitahu, sepanjang tempoh tersebut, mangsa yang berusia 64 tahun itu melakukan sembilan transaksi berjumlah RM6,118,500 ke lima akaun bank berbeza seperti yang diarahkan oleh suspek.
"Mangsa kemudian mendapati keuntungan pelaburan di platform tersebut mencecah hampir RM28.9 juta.
"Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas cubaan untuk mengeluarkan keuntungan tersebut gagal dan dia diminta membayar pelbagai bayaran cukai," ujarnya.
Berikutan laporan yang dibuat mangsa, Hussein berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
PDRM turut mengingatkan agar hanya menggunakan aplikasi kewangan atau pelaburan yang diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Jika ada panggilan mencurigakan orang ramai dinasihatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.