SHAH ALAM: Pelarasan semula harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini mampu mengimbangi beban kos operasi yang ditanggung pesawah.

Pesawah Saipol Bahri Sahlan, 64, berkata keputusan itu membuktikan kerajaan cakna dan memandang berat keluhan pengusaha di akar umbi yang terkesan dengan kenaikan harga input pertanian padi seperti racun dan baja.

"Para petani bising mengenai harga belian yang rendah bersebab antaranya mereka kurang untung tetapi jika sekarang dengan harga lantai RM1,500, kemungkinan harga jualan boleh meningkat kepada RM1,650 atau hingga RM1,800.

"Masyarakat perlu faham bahawa pesawah bukan suka-suka minta harga lantai ini dinaikkan. Sebagai contoh, harga racun sebelum ini hanya RM50 untuk setengah liter tetapi sekarang RM80 hingga RM100 jadi perbezaan ini perlu diseimbangkan untuk kebaikan pesawah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Saipol Bahri yang mengusahakan sawah seluas empat hektar di Kampung Sawah, Tanjong Karang berpandangan penyelarasan harga lantai itu dapat membantu menstabilkan harga akhir yang perlu ditanggung pengguna bagi mendapatkan beras putih tempatan.

Sementara itu, pesawah dari Sungai Burong, Tanjong Karang, GK Nadarajan, 64, berkata pengumuman itu bukan sahaja menjamin kebajikan pesawah tetapi berpotensi meningkatkan kualiti beras tempatan.

"Dengan sedikit keuntungan, para pesawah boleh melabur dalam teknologi pertanian yang lebih baik atau meningkatkan penggunaan baja berkualiti untuk memastikan hasil tuaian lebih bermutu," katanya sambil menambah ia langkah yang baik dan melegakan semua pihak walaupun kenaikan bukan setinggi diharapkan.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad menjangkakan kenaikan harga beras tempatan sekitar dua hingga lima peratus untuk pengguna akhir susulan pelarasan harga lantai tersebut.

Bagaimanapun katanya kadar itu masih jauh lebih rendah berbanding harga beras import yang boleh diimbangi dengan memastikan permintaan dan pengeluaran domestik yang mencukupi.

"Kerajaan juga telah bersetuju untuk menambah subsidi sebanyak RM150 juta bagi sektor ini untuk menampung kos operasi dan memastikan harga jualan beras tempatan kekal pada peringkat akhir nanti," katanya.

Beliau berkata keputusan itu memberi limpahan manfaat lain seperti menjadikan industri padi tempatan lebih menarik untuk diceburi golongan belia kerana kini ia menawarkan pulangan yang lebih baik.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelarasan semula harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, selain mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

-- BERNAMA