Pengerusi Jawatankuasa Argoteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata meskipun kadar kenaikan itu hanya RM200, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia perlu mencapai keseimbangan antara pesawah, pengilang dan pengguna.
Beliau berkata langkah itu juga mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh sektor pertanian, memastikan kesejahteraan pesawah dan mengekalkan kestabilan harga di pasaran tanpa menjejaskan rantaian bekalan makanan.
"Purata pengeluaran padi sekitar 3.88 tan sehektar memberi kelebihan kepada pesawah untuk meraih pendapatan lebih tinggi dan tambahan subsidi RM500 per tan yang disediakan kerajaan, pendapatan pesawah boleh meningkat sehingga RM2,000 per tan metrik hasil jualan padi mereka.
"Walaupun kenaikan harga ini memberi manfaat besar kepada pesawah, sebarang pelarasan mendadak perlu dikawal bagi mengelakkan ketidakseimbangan harga di pasaran," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Fahmi berkata peningkatan mendadak boleh memberi impak besar kepada sektor pembekalan makanan yang menggunakan hampir 20 peratus daripada pengeluaran beras tempatan, dan sebarang perubahan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan gangguan kepada kestabilan harga.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Palet Mohd Fauzi Hussin berkata pelarasan semula harga lantai belian padi itu sedikit sebanyak dapat menampung harga kos benih dan input pertanian yang semakin melonjak.
"Kami, pesawah sambut baik dan ucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pengumuman kenaikan ini, ia memberi kegembiraan kepada pengusaha padi yang berada di bawah PPK Kampung Palet," katanya, yang berharap kerajaan dapat mempertimbangkan insentif-insentif lain bagi membantu pesawah.
Senada dengan pandangan itu, dua pesawah Mohd Hishamudin Ahmad, 45, dan Abdul Rahman Abu, 48, berkata pengumuman berkenaan sememangnya dinantikan dan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah menampung kos sara hidup masa kini.
Di KOTA BHARU, Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) Zuha Ismail berkata kenaikan harga lantai belian padi itu adalah amat wajar kerana kos input pertanian telah meningkat.
Beliau yang mewakili persatuan pesawah mengucapkan terima kasih atas keperihatinan kerajaan dan berharap kerajaan terus memberi perhatian dan pembelaan nasib pesawah tempatan.
Zuha turut memaklumkan terdapat lebih 7,700 petani di kawasan selian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan kerugian sepanjang dua musim penanaman lepas, dan mereka masih bergelut dengan krisis kewangan bagi meneruskan kerja pertanian pada musim kedua tahun 2024.
"Harga baharu ini diharap memberi sedikit kelegaan kepada petani untuk meneruskan usaha masing-masing selain mendorong lebih ramai anak muda menceburi bidang ini," katanya kepada Bernama.
Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelarasan semula harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, selain mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram, dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Pada 2023, kerajaan pernah menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan daripada RM1,200 satu tan yang ditetapkan sejak 2014.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)