SEREMBAN: Seorang pemandu ambulans yang juga penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya berusia 14 tahun yang mana hubungan tertuduh dengannya tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan berkenaan dilakukan pada 14 April 2022 dan 31 Julai 2022 antara jam 2 pagi hingga 3 pagi di sebuah kuaters kerajaan di Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh adalah bapa tiri kepada mangsa.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan, mohon jaminan tinggi dikenakan beserta dengan syarat-syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah hospital kerajaan selain perlu menanggung isteri serta dua anak masih kecil.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi serahan semula dokumen dan lantikan peguam pada 24 Mac depan. - Sinar Harian