KLUANG: Seorang lelaki maut apabila forklift yang dipandu terjatuh ke dalam longkang di Taman Berlian Biru, di sini, pada petang Jumaat.


Ringkasan AI
  • Pemandu forklift Arifin Jujok, 47, maut apabila jentera yang dipandunya terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter.
  • Lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam parit menggunakan pengusung.
  • Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Ketua Balai Penolong Penguasa Bomba PPgB, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 1.50 petang.

"Seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shamsul Amri Shahab bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi didapati benar kejadian seorang lelaki yang dikenali sebagai Arifin Jujok, 47, telah terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter bersama sebuah kenderaan forklift.

"Anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam parit menggunakan pengusung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan itu bagaimana pun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -Sinar Harian