MUAR: Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler di KM132.3 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan berkenaan daripada orang awam kira-kira pukul 7 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu sebuah treler yang merupakan lelaki tempatan berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

"Namun apabila tiba di lokasi ketika treler bergerak terus, sebuah lori yang dipandu mangsa, S Thevandaran, 44, telah melanggar bahagian belakang treler sekali gus mengakibatkannya cedera parah di bahagian badan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Muar, manakala pemandu treler tiada kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-- BERNAMA