IPOH: Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 300.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Gopeng, pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 5.54 pagi.

Menurutnya, sebaik jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Tapah tiba di lokasi, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori treler tiga melanggar bahagian belakang sebuah lori treler lain.

“Terdapat seorang mangsa tersepit iaitu seorang pemandu lori tiga tan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut beliau, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan
mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidrolik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Katanya, mangsa yang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II  Masjuliana Mohamad Zainudin tamat jam 7.55 pagi.