SANDAKAN: Seorang lelaki parah manakala enam pelancong warga China cedera ringan selepas bas yang dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Lintas Sibuga di sini pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki parah dan enam pelancong warga China cedera ringan selepas bas terbabas di Jalan Lintas Sibuga.
  • Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut.
  • Pasukan bomba membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.

Menurutnya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Sandakan.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 17 pelancong termasuk empat kanak-kanak dari China yang telah terbabas sendiri.

"Pemandu lelaki berusia 63 tahun yang mengalami kecederaan dan kesemua pelancong tersebut telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di atas jalan raya dan operasi ditamatkan pada jam 10.42 pagi. -Sinar Harian