PUCHONG: Seorang lelaki berdepan detik cemas setelah kereta jenis Mercedes dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Bukit Puchong di sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian mengakibatkan mangsa berumur 29 tahun itu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum diselamatkan anggota bomba.

"Panggilan berkaitan kejadian diterima pihaknya pada jam 11.23 malam sebelum seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang cedera.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian