Menurut bekas Perdana Menteri itu, kawasan yang tidak disentuh oleh pembangunan kota metropolitan itu perlu diberikan perhatian untuk diperbaharui.
Menerusi hantaran terbaharu yang dimuat naik di akaun media sosial beliau, Dr Mahathir menegaskan, sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan, kuasa politik kaum Melayu akan terjejas.
"Kuala Lumpur dan kebanyakan bandar di Malaysia juga begitu. Dan biasanya kawasan setinggan dan yang miskin sudah jadi buruk dan hodoh. Kawasan-kawasan ini perlu dibaharui.
"Di Kuala Lumpur penduduk kawasan-kawasan ini majoriti adalah orang Melayu. Untuk membaharui kawasan ini yang perlu keluar majoriti adalah Melayu.
"Apabila kawasan ini hendak diperbaharui, majoriti yang perlu keluar adalah orang Melayu. Setelah penduduk miskin dikeluarkan, pembaharuan dibuat tentu yang jenis mewah.
"Si miskin tidak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi. Maka berkuranglah penduduk Melayu dalam bandar sekali gus bandar akan menjadi tempat orang bukan Melayu," kata Dr Mahathir dalam hantaran itu.
Tambah Dr Mahathir, situasi ini menyebabkan masyarakat Melayu hidup terpencil di luar bandar serta tidak dapat menikmati kemudahan yang tersedia di kota.
Berikutan keadaan ini, tegas beliau, perpaduan kaum juga sukar untuk diterapkan.
"Jumlah orang Melayu dalam bandar akan berkurang dan pemisahan antara Melayu dan bukan Melayu di negara ini akan jadi lebih luas.
"Dan perpaduan kaum tidak akan berlaku," ulas Dr Mahathir.
Selain itu, Dr Mahathir memberikan contoh situasi serupa yang sedang berlaku di negara jiran Singapura.
"Apa yang dilakukan oleh Singapura ialah mengambil alih semua kampung-kampung Melayu dan membangunkan pangsapuri mewah.
"Penduduk kampung diagihkan ke pangsapuri di tempat-tempat lain secara berkecamuk. Orang kampung Melayu tidak lagi hidup bersama. Mereka ditenggelamkan ke dalam perumahan yang majoriti bukan Melayu.
"Pembaharuan bandar di Malaysia perlu dilakukan. Tetapi caranya bukanlah dengan mengeluarkan orang Melayu dari bandar," ujar Dr Mahathir.
