SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat penyedia latihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM85,500 kepada agensi sebuah kementerian, empat tahun lepas.

Mohd Nazri Ahmad, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu selaku penyedia latihan berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad didakwa mengemukakan dokumen Unit Tuntutan Pembayaran bernilai RM85,800 kepada agensi tersebut menerusi e-mel.

Perkara itu sebagai niat memperdaya prinsipal agensi itu, kerana dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu iaitu tiada penawaran atau penerimaan pekerja seperti tercatat dalam Borang Perjanjian Pekerjaan dan tandatangan pada borang itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 Feb 2021 di pejabat sebuah syarikat di sekitar Seri Kembangan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Mohd Nazri boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad menawarkan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Syaheera Rosli yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan minimum diberikan kepada anak guamnya, memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua ibu bapa yang uzur di Kedah.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwa raya dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA