Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu itu perlu diperjelaskan sehingga orang Melayu benar-benar faham, sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, UMNO perlu belajar daripada isu 1MDB yang gagal diperjelaskan sehingga ke saat-saat akhir PRU15 lalu.
“Kita menghadapi banyak keyakinan rakyat, pengundi, orang UMNO keyakinan itu merosot semasa PRU lalu.
“Krisis keyakinan kepada parti UMNO masa PRU seperti 1MDB dan sebagainya menyebabkan ramai ahli parti sendiri menolak calon UMNO dan masalah itu berterusan sehingga selepas PRU belum pulih lagi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penerangan PRU16 di Dewan Parit 9, Labu Kubong dekat sini, petang semalam.
Menurut Tajuddin, sekarang ini timbul pula masalah lain yang menyebabkan ramai yang tidak begitu selesa dengan UMNO.
Menjelaslan lanjut, bekas Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak itu berpendapat, isu sekarang ini ialah kerjasama dengan DAP.
“Kalau tidak ditangani dengan betul, isu ini dibawa sehingga PRU akan datang dan pemimpin UMNO mesti terangkan betul-betul sampai rakyat, pengundi yakin dengan apa yang kita jelaskan itu,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama dengan DAP perlu ditangani kerana UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menunjukkan komitmennya untuk Melayu dan Islam.
Menurutnya, Perdana Menteri juga telah menunjukkan ketokohan serta kemampuannya sampai ke peringkat antarabangsa dan dia adalah salah seorang pemimpin dunia yang sebaris dengan pemimpin dunia lain.
“Beliau memperjuangkan isu-isu antarabangsa, tetapi masalah kita dengan DAP.
“Macam mana nak buat, inilah masanya dalam dua tahun ini kalau boleh diselesaikan cepat jangan tunggu dekat nak pilihan raya nanti,” katanya.