SEORANG pemuda, Adrian Simancas, terlepas daripada sebarang kecederaan setelah ditelan ikan paus humpback ketika sedang berkayak di selatan Chile, Sabtu lalu.

Peristiwa itu sempat dirakam bapanya, Dell Simancas.

Adrian, 24 tahun, dan bapanya sedang berkayak di Punta Arenas dan secara tiba-tiba dia hilang daripada pandangan bapanya.

"Tiba-tiba saya mendapati seakan seperti diangkat oleh sesuatu, seakan ombak.

"Apabila saya menoleh, saya berasakan sesuatu yang berwarna biru dan putih melintasi muka saya, dari sisi dan atas.

"Saya tidak faham apa yang sedang berlaku. Kemudian saya tenggelam, dan fikir saya telah ditelan."

Bapanya yang berkayuh dengan sebuah lagi kayak pula sempat merakamkan anaknya diluahkan kembali oleh ikan paus itu.

"Saya menghidupkan kamera dan terdengar bunyi ombak yang kuat menghempas di belakang saya. Apabila saya menoleh, saya tidak nampak apa-apa," kata bapanya, Dell Simancas.


"Jadi, itulah satu-satunya detik ketakutan sebenar kerana saya tidak dapat melihat Adrian selama kira-kira tiga saat.

"Kemudian, dia tiba-tiba diluahkan dan beberapa saat kemudian, kayaknya pula muncul, dan selepas itu saya ternampak sesuatu seperti sirip."

Adrian berkongsi pengalaman yang mencemaskan itu dengan berkata: Saya fikir, habislah saya, kerana saya sudah mati. "Ia seperti tiga saat yang pelik di situ."