KUALA LUMPUR: Pemuda Pas Malaysia membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kerana mendakwa perubahan nilai ambang kelulusan projek boleh menafikan hak golongan minoriti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, ketetapan baharu yang menurunkan nilai ambang kepada 80 peratus, 75 peratus dan 51 peratus mencetuskan risiko pemilik minoriti dipinggirkan. 

“Meskipun kerajaan telah memberi penerangan berkenaan kedudukan penghuni minoriti, ia dibuat secara tergesa-gesa dan terdapat percanggahan dalam dokumen.

"Justeru, mekanisme ini perlu dikaji lebih mendalam supaya hak pemilik tidak dikompromi,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

RUU PSB sebelum ini diperkenalkan bagi mempercepatkan proses pembaharuan semula bandar melalui perubahan nilai ambang kelulusan projek pembangunan.

Namun, pihak pembangkang dan beberapa pertubuhan masyarakat menyuarakan kebimbangan terhadap kesan sosial dan ekonomi daripada pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Pemuda Pas menegaskan, himpunan bantah RUU PSB akan diteruskan dengan skala lebih besar sekiranya kerajaan gagal mendengar suara rakyat.

Dalam masa sama, Pas turut mendesak kerajaan membuka semula meja rundingan agar pihak berkepentingan, termasuk rakyat terjejas dapat turut serta dalam perbincangan.