Perbincangan turut dijangka dilatari dengan ketidaktentuan geopolitik semasa serta strategi ASEAN untuk menampan impaknya kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia menetapkan empat matlamat utama ekonomi (PED) bagi AEM tahun ini, yang berlandaskan kepada empat tunjang strategik.
“Pertama ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan, kedua ialah mewujudkan landasan yang inklusif dan mampan, ketiga ialah menggalakkan integrasi dan ketersambungan ekonomi, dan keempat ialah membina ASEAN yang berdaya tahan secara digital,” katanya.
Menurut beliau, negara anggota juga akan membincangkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030 serta beberapa perjanjian penting untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.
Ini termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
“Negara-negara anggota ASEAN dijangka merekodkan aktiviti perdagangan yang lebih baik dengan DEFA dan ATIGA.
“Bagaimanapun, kita perlu menilai semula industri perkhidmatan (dalam perjanjian ini), kerana banyak negara masih melindungi sektor ini,” katanya.
AEM dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai Ekonomi Peringkat Tertinggi (AEOM) pada 26 dan 27 Februari, disusuli dengan sesi pemukiman menteri pada 28 Februari ini.
