Pengerusi Persatuan Rakaman Malaysia (RIM) Rosmin Hashim berkata angka itu mengatasi rekod pendapatan tertinggi industri muzik tempatan berjumlah RM315 juta yang dicatat pada 1996.
"Pencapaian luar biasa ini disumbang peningkatan 14 peratus dalam hasil pendapatan digital dan 7.6 peratus peningkatan kutipan royalti tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) muzik utama negara berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau optimis dengan masa depan industri muzik tempatan berikutan pelbagai inisiatif yang telah membuahkan hasil sepanjang 2024.
"Inisiatif ini merangkumi usaha menggalakkan pelaburan dalam industri muzik tempatan, melindungi harta intelek ahli-ahli, penyerahan data relevan dalam pembentukan dasar kerajaan dan penggubalan undang-undang baharu berkaitan muzik serta pemberian bantuan kepada pemain industri muzik dalam kesusahan," katanya.
Rosmin berkata RIM kekal proaktif dalam perhubungan dengan kementerian dan agensi kerajaan bagi melindungi kepentingan pemilik hak cipta menerusi penggubalan dasar dan undang-undang baharu yang menyokong pertumbuhan industri muzik tempatan.
"Mengenai lanjutan perlindungan terma hak cipta, RIM mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung pindaan ke atas Akta Hak Cipta bagi melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta karya lagu dan rakaman bunyi daripada 50 tahun ketika ini kepada piawaian antarabangsa baharu selama 70 tahun.
"RIM juga mencadangkan penggubalan undang-undang baharu agar kebenaran pemilik hak cipta diperoleh dalam penggunaan lagu-lagu berhak cipta untuk melatih model janaan muzik menerusi kecerdasan buatan (AI) dalam sesi libat urus dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi," katanya.
Selain itu, RIM mengambil inisiatif bagi tindakan anticetak rompak, melindungi hak ahli dengan merunding semula dan membuat pindaan yang diperlukan pada perjanjian kerjasama berkaitan antara pemegang hak dan stesen penyiar serta memberi bantuan kepada pengamal industri muzik melalui program amal 'Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM)'.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)