Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberi galakan kepada TNB dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi tumpuan kepada pelaburan baharu di Malaysia.
“…kerana seperti yang anda tahu, ekonomi sedang berkembang pesat. Kami sebahagian daripada rantau yang dinamik kerana pertumbuhannya dan semakin mendapat tumpuan serta daya tarikan sebagai destinasi pelaburan.
“Oleh itu, TNB dengan pemain-pemain lain telah diamanahkan untuk menjalankan penyelidikan, meneroka peluang baharu, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti yang saya tekankan,” katanya.
Berucap lanjut, Anwar yakin kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.
“Oleh itu, usaha dalam bidang ini termasuk di UK, pasti bermanfaat pada jangka panjang pada pandangan saya,” tambah Anwar.
Dalam masa sama, Anwar menambah, usaha untuk menarik pelaburan memerlukan daya cipta daripada pemain korporat serta para profesional.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran ladang solar Eastfield dan Bunkers Hill berkapasiti 102 Megawatt (MW) oleh TNB, di sini, pada Khamis malam waktu tempatan.
Kedua-dua ladang solar itu mempamerkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.
Kedua-dua tapak tersebut disasarkan mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) menjelang awal tahun ini dan ia disokong oleh skim Kontrak untuk Perbezaan (CFD) selama 15 tahun yang diperoleh pada Julai 2022.
TNB kini memiliki, membangun, dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh UK dan Ireland.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB berbangga dengan sumbangannya kepada sektor TBB ketika syarikat itu meluaskan kehadirannya bukan sahaja di Malaysia dan UK, tetapi juga di pasaran global lain.
“Kami berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran yang telah kami bina sejak 75 tahun lalu dengan menerima pakai kemajuan teknologi dan mengutamakan pembangunan bakat,” ujar beliau.