ALOR SETAR: Seorang tenaga pengajar di sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki di sebuah hotel, Sabtu lalu.

Tertuduh yang berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba kemaluan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Tandop Utama, Kota Setar pada 2.35 pagi, 22 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang turut berhadapan tujuh lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.

Mohd Imran meminta jaminan minimum dibenarkan atas alasan tertuduh perlu menyara keluarga selain tidak melanggar syarat ditetapkan Mahkamah Sesyen Butterworth yang memberikan jaminan terhadapnya.

Bagaimanapun, Nurfatin Mastura memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam yang mana dia dianggap berbahaya kepada mangsa lain, walaupun tidak menganggu mangsa-mangsanya dalam kes dihadapinya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan tidak dibenarkan terhadap tertuduh dan tarikh 23 Mac untuk sebutan semula kes.