Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya direman selama tujuh hari kerana disyaki membunuh ibu kandungnya di Pangsapuri Seri Orkid, Butterworth.
- Mayat wanita berusia 60-an ditemui selepas bau busuk dari unit pangsapuri tersebut, dipercayai dibunuh tiga hari sebelumnya.
- Suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul ibu bapanya dan positif dadah, sementara motif kejadian masih dalam siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal terhadap penganggur berusia 24 tahun di Mahkamah Majstret Butterworth hari ini bermula hari ini sehingga 9 Februari depan.
Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Turut direman teman wanita suspek berusia 20 tahun bagi membantu siasatan.
Terdahulu, pasangan kekasih itu tiba di perkarangan mahkamah diiringi polis dengan berpakaian lokap berwarna jingga jam 10.49 pagi.
Kes berkenaan terbongkar selepas mayat wanita berusia 60-an yang dipercayai telah dibunuh tiga hari lalu ditemui susulan bau busuk dari sebuah unit di pangsapuri tersebut.
Difahamkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu antara jam 6 petang hingga 8 malam pada Jumaat lalu sebelum mangsa dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala.
Suspek dan kekasihnya itu berjaya di tahan di rumah bapa suspek utama di Paya Terubong, kira-kira jam 6.30 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul kedua-dua ibu bapanya serta positif dadah.
Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.