JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dan ibu tunggal mengaku bersalah di dua mahkamah di sini pada Rabu atas pertuduhan menyiarkan video berkaitan pertubuhan menyalahi undang-undang di TikTok, awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • Seorang penganggur dan ibu tunggal mengaku bersalah menyiarkan video berkaitan pertubuhan menyalahi undang-undang di TikTok.
  • R Elaango didenda RM3,500 atau penjara dua bulan, manakala Tan Lee Sim didenda RM2,000 atau penjara enam bulan.
  • Peguam meminta hukuman minimum kerana kedua-dua tertuduh menanggung keluarga.


Di hadapan Majistret A Shaarmini, R Elaango, 33, didakwa menyiarkan dokumen berbentuk video di dalam TikTok miliknya bagi kepentingan sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 36, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada kira-kira jam 11.30 malam pada 3 Mac lalu.

Sementara di hadapan Hidayatul Syuhada Shamsuddin, ibu tunggal Tan Lee Sim, 41, didakwa menyiarkan dokumen berbentuk video di dalam TikTok miliknya bagi kepentingan sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 04, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada kira-kira jam 11.30 malam pada 3 Mac lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nevina Ravichandran.

Peguam Mu'adz Zulkarnain yang mewakili kedua-dua tertuduh meminta kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman yang minimum kerana menanggung keluarga.

"R Elaango sedang mencari pekerjaan dan menanggung ibunya. Manakala Lee Sim yang bekerja di kilang perlu menanggung anak berusia 17 tahun dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan," ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 terhadap R Elaango, jika gagal bayar akan dipenjara dua bulan, manakala Lee Sim didenda RM2,000 sekiranya gagal bayar akan dipenjara enam bulan.  -Sinar Harian