PORT DICKSON: Penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak menekan peniaga dengan menawarkan harga sewa tapak yang tinggi, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata keadaan itu akan membebankan peniaga sekali gus memberi kesan terhadap harga jualan yang mungkin terpaksa ditanggung pembeli.

"Biasanya di negeri ini ada badan bukan kerajaan atau kumpulan yang akan selaraskan tapak, mereka mohon daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing, mereka juga uruskan termasuk pengurusan sampah, api, air dan kebersihan. Jadi, saya harap mereka dapat uruskan dengan baik.

"Tentang harga bincang elok-elok, jangan (memberi) sewa keterlaluan dan jangan tekan peniaga, kerajaan negeri tidak terlibat, kita beri peluang kepada semua untuk berniaga, saya tahu ada (beri sewa tinggi), tetapi sukar dibuktikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agropoint Bukit Pelandok di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan tapak bazar masing-masing atau berdepan dengan tindakan saman serta deposit tidak dipulangkan.

"Paling penting ialah kebersihan, mesti diuruskan dengan baik, saya telah beri amaran jangan tinggalkan sampah, contoh kalau pagi raya sampah bertebaran, saya tak nak pagi raya pekerja konsesi terpaksa kutip sampah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata larangan pemasangan khemah awam di Pantai Port Dickson bertujuan menjaga kebersihan kawasan berkenaan selain langkah pencegahan sekiranya berlaku aktiviti tidak bermoral.

Malah, beliau berkata kemudahan termasuk tandas yang disediakan berhampiran pantai itu mencukupi dan selamat untuk digunakan oleh pengunjung.

"Kita tak nak (orang ramai) buat khemah korek pasir simpan (sampah) di dalam (lubang pasir). Sisa makanan campak di tepi pokok, hal ini yang kita harus jaga, apabila tak ada khemah mudah penguat kuasa jalankan aktiviti pembersihan. Tujuan asal untuk memberi kemudahan kepada rakyat, tiada double standard, " katanya.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebelum ini menerusi hebahan di laman sosialnya dilaporkan melarang sebarang bentuk pemasangan khemah di pantai awam Port Dickson termasuk kanopi dan payung pantai.

-- BERNAMA