Bagaimanapun, U. Yogeshwaran, 46, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, Yogeshwaran sebagai pengarah syarikat Asas Kukuh Security Services (M) Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat itu berjumlah RM176,117.55 bagi tujuan bayaran ubah suai rumah, ansuran rumah, ansuran pinjaman bagi syarikat Asentia Enterprise milik tertuduh dan bayaran penghakiman saman sivil atas nama tertuduh.
Lelaki itu didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit di Bank Muamalat Malaysia Berhad, Menara Bumiputra di sini antara 7 April 2022 dan 13 Mei 2022.
Pertuduhan mengikut Seskyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Syazwani Mohamad Sobri mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
"Kami dah berbincang dengan pihak pembelaan mengenai jumlah jaminan serta syarat tambahan itu," kata Noor Syazwani.
Peguam V. Muniandy yang mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaaan dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)