KOTA TINGGI: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi lelaki asuhannya berusia sembilan bulan sehingga meninggal dunia.

Chia Muy Hoong, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 6 Dis 2024 dan 12 Jan lepas di sebuah rumah di Taman Intan Jaya, Mersing dekat sini dengan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala mangsa sehingga mendatangkan kematian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan bon berkelakuan baik serta perintah khidmat masyarakat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Amy Law Siew Tin yang mewakili tertuduh merayu jaminan itu dikurangkan atas faktor kewangan anak guamnya.

Pengasuh bayi didakwa menganiaya hingga sebabkan kematian

"Tertuduh bekerja sebagai pengasuh sejak 20 tahun lepas yang merupakan punca pendapatan utamanya dan menanggung suami yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai selain menetapkan sebutan semula kes pada 24 Feb ini.

Pada Khamis lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dekat sini, selepas dua hari menerima rawatan dipercayai kerana didera.

-- BERNAMA