KUALA LUMPUR: Seorang pengawal peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menunjukkan pistol terhadap dua pekerja kedai emas semasa rompakan di sebuah pusat beli-belah, awal bulan ini.

Saifulzaman Hamzah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa menunjukkan senjata api semasa rompakan dengan cara mendatangkan ketakutan mati atau cedera ke atas dua wanita masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai emas, di sebuah pusat beli-belah di Cheras di sini pada 12.45 tengah hari 4 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin, namun peguam Mohd Hisham Md Nen merayu mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan memandangkan Saifulzaman menanggung isteri tidak bekerja, tiga anak serta ibu dan bapa yang uzur.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Feb untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA