Beliau berkata turut mencatatkan peningkatan ialah kupang dengan 3,637.93 tan dikeluarkan pada 2024, berbanding hanya 2,436.54 tan tahun sebelumnya.
Adnan berkata bagaimanapun pengeluaran tiram menunjukkan penurunan daripada 169.43 tan pada 2023 kepada 132.14 tan tahun lepas.
"Secara keseluruhan, industri kerang-kerangan mengalami pertumbuhan positif dengan jumlah pengeluaran meningkat daripada 17,776.03 tan pada 2023 kepada 20,290.75 tan tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penternakan kerang di Malaysia secara amnya dijalankan secara separa akuakultur iaitu benih kerang diperoleh daripada kawasan semula jadi, namun penternak menghadapi cabaran dalam mengawal kualiti air di kawasan ternakan yang boleh memberi kesan kepada kadar pertumbuhan dan hasil tuaian.
Sehubungan itu, Adnan berkata Jabatan Perikanan (DOF) telah melaksanakan Projek Kebun Kerang sebagai inisiatif strategik bagi meningkatkan pengeluaran kerang negara, selain membangunkan kawasan dataran berlumpur yang sedia ada secara sistematik bagi memastikan kelestarian industri berkenaan.
"Projek Kebun Kerang terbukti berjaya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat pesisir. Kami komited untuk terus menyokong penternak dengan latihan dan teknologi moden bagi memastikan industri ini berkembang secara lestari," katanya.
Beliau berkata kajian DOF menunjukkan Projek Kebun Kerang di Lekir, Perak berjaya membantu mengurangkan kadar peserta dalam kategori B40 daripada 87.3 peratus kepada 67.3 peratus dalam tempoh setahun, manakala pendapatan golongan M40 turut meningkat.
Adnan berkata walaupun industri kerang menunjukkan potensi pertumbuhan memberangsangkan, cabaran seperti ketidakseimbangan antara permintaan dan pengeluaran kekal menjadi isu utama, yang boleh mencetuskan inflasi harga serta menggalakkan aktiviti penangkapan berlebihan.
"Oleh itu, usaha berterusan daripada DOF dalam menyediakan sokongan teknikal kepada penternak melalui latihan dan program peningkatan kapasiti amat penting bagi memastikan kelangsungan industri ini dalam jangka masa panjang.
"DOF terus memperkukuh pembangunan industri ini melalui penggunaan teknologi moden dalam pemantauan stok, pengurusan air dan sistem pembiakan bagi memastikan produktiviti yang optimum serta mengurangkan kesan terhadap biodiversiti," katanya menambah penyelidikan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti kawasan berpotensi bagi projek akuakultur kerang.
Beliau berkata selain itu, DOF turut memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan kewangan untuk penternak dapat disediakan secara menyeluruh.
-- BERNAMA
