KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam mendapatkan rawatan di hospital swasta susulan aduan mengenai kenaikan caj perubatan yang tidak munasabah.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata demikian, mengingatkan pengguna agar mengambil tahu mengenai hak mereka pada tiga peringkat, iaitu sebelum, semasa dan selepas menerima perkhidmatan hospital swasta.

“Sebelum mendapatkan rawatan, pengguna perlu membuat kajian mengenai caj rawatan yang dikenakan oleh hospital swasta.

“Dengan teknologi yang ada, kita boleh membuat perbandingan harga melalui telefon pintar atau komputer riba.

“Selain itu, dapatkan nasihat daripada individu yang pernah mendapatkan rawatan di hospital tersebut,” katanya ketika ditemu bual dalam AWANI Pagi hari ini.

Menurut Mohamad Yusrizal, ketika menerima rawatan, pesakit harus berani bertanya kepada pihak hospital mengenai caj yang dikenakan, termasuk sebarang kos tambahan.

“Jangan segan untuk bertanya supaya kita tidak dikenakan bayaran yang tidak dijangka,” jelasnya.

Pengguna disaran teliti caj hospital swasta

Katanya, jika selepas menerima rawatan terdapat caj yang dirasakan tidak munasabah, pengguna berhak membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika kita sudah bertanya sebelum dan semasa rawatan, tetapi masih dikenakan caj berlebihan, laporkan kepada KKM agar tindakan sewajarnya dapat diambil," tambahnya.

Beliau turut menggesa kerajaan memperketat kawal selia terhadap caj perubatan di hospital swasta bagi mengelakkan pengguna terus terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kajian terperinci perlu dijalankan bagi memahami isu perbezaan caj rawatan hospital swasta.

Katanya, kajian ini melibatkan pesakit yang menggunakan surat jaminan (guarantee letter) dan mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.