KUALA SELANGOR: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan urusan pembelian kenderaan lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun lepas.

Muhammad Radzi Azman, 32, didakwa menipu lelaki berusia 43 tahun itu dengan memperdayakan mangsa dalam urusan pembelian kenderaan lelongan JPJ sehingga mendorong individu berkenaan membuat pindahan wang RM8,050 ke akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Sungai Serdang, Kapar, dekat sini antara 11 Sept dan 3 Okt 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat atau denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin menawarkan jaminan RM5,000, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan yang mewakili Muhammad Radzi memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak.

Majistret Siti Hajar Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA