KUALA LUMPUR: Nanostix Innovations Sdn Bhd dalam satu kenyataan mahu kerajaan menekankan pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan yang lebih seimbang.

Ini susulan kenyatan Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad yang bersedia untuk meneliti semula kemungkinan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape di Malaysia.

Kata Shahabudeen, beliau percaya bahawa pengharaman penuh industri vape di Malaysia bukanlah penyelesaian yang adil dan berkesan terhadap isu yang sedang berlaku seperti laporan mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.

“Ini kerana isu yang berlaku seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape disebabkan oleh berlakunya penguatkuasaan yang lemah sehingga membolehkan vape haram ini berleluasa.

"Semua cecair vape yang mengandungi bahan terlarang ini berasal daripada produk import yang dibancuh oleh pihak yang tidak diketahui, dihasilkan tanpa pemantauan dan diseludup masuk ke Malaysia tanpa membayar cukai,

Sebaliknya, pengilang tempatan yang sah seperti Nanostix tidak pernah mengeluarkan produk yang mengandungi bahan terlarang,” jelasnya. 

Kata Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, mengharamkan seluruh industri vape di Malaysia adalah satu langkah yang tidak adil kepada pengeluar tempatan.

Ini kerana ia bukan sahaja beroperasi dengan mematuhi undang-undang, malah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.

“Pada tahun 2024, Nanostix telah membayar lebih RM60 juta kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan duti eksais.  Pada Januari 2025 sahaja, kami telah membayar RM995,689.60 dalam duti eksais untuk setiap mililiter cecair vape yang dihasilkan.  Nanostix juga membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pelbagai bidang,” katanya.

Justeru itu, Nanostix memohon kerajaan untuk mengambil langkah bagi menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara, tingkatkan penguatkuasaan ke setiap premis jualan vape dan bukannya menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.

Nanostix dan industri tempatan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pasaran vape di Malaysia lebih selamat, teratur, dan memberi manfaat kepada pengguna serta negara.