Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pasaran kekal lemah berhubung prospek tahun ini di tengah-tengah ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan yang mungkin mempengaruhi dinamikanya secara keseluruhan.
"Tekanan yang semakin meningkat terhadap kos input, persaingan pasaran yang semakin sengit khususnya disebabkan oleh dasar cukai Amerika Syarikat, permintaan yang lemah, kesukaran dalam menarik pelanggan baharu dan kelemahan ringgit menjadi antara cabaran utama bagi tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan tinjauan separuh tahunan FMM ke-26 di sini hari ini.
Beliau juga berkata 39 peratus daripada 524 responden menyebut beban peraturan yang meningkat sebagai cabaran baharu manakala 39 peratus lagi menekankan kesukaran dalam mengakses tenaga kerja mahir tempatan serta 36 peratus menunjukkan kewajipan cukai yang lebih tinggi sebagai halangan utama bagi para pengilang.
Soh mendedahkan jangkaan pengilang untuk aktiviti perniagaan yang lebih tinggi berkurangan seperti yang ditunjukkan oleh jangkaan indeks aktiviti perniagaan yang menyederhana kepada 101 daripada 106 sebelumnya.
"26 peratus daripada responden menjangkakan keadaan perniagaan akan bertambah baik tidak lama lagi, turun daripada 29 peratus sebelum ini. Bagaimanapun, walaupun terdapat penurunan, keyakinan tetap ada dengan indeks kekal melebihi 100," katanya.
Beliau menegaskan jangkaan pengilang untuk jualan tempatan dan eksport mencerminkan kestabilan yang berhati-hati.
Katanya, keyakinan jualan tempatan kekal terhad dengan hanya 20 peratus daripada responden menjangkakan jualan yang lebih tinggi manakala tindak balas menunjukkan jangkaan jualan yang stabil meningkat kepada 55 peratus.
Menurutnya, ia juga mencadangkan perubahan ke arah kebolehramalan berbanding pengembangan.
Tinjauan itu juga mendedahkan jualan eksport diunjurkan sedikit merosot dengan peratusan responden menjangkakan eksport yang lebih tinggi menyusut kepada 23 peratus daripada 26 peratus disebabkan ketidaktentuan perdagangan global.
"Namun, 51 peratus daripada responden menjangkakan eksport yang stabil. Secara keseluruhannya, perniagaan mengutamakan kestabilan berbanding pengembangan yang pesat dengan pesimisme semakin pudar di kedua-dua pasaran.
"Jangkaan pengilang untuk jumlah pengeluaran yang lebih tinggi juga merosot kepada 30 peratus daripada 32 peratus sebelumnya.
"Sementara itu, jangkaan pengeluaran stabil meningkat kepada 48 peratus mencerminkan kebolehramalan yang lebih besar dalam pengeluaran," kongsi beliau.
Mengenai pelaburan modal, jangkaan responden kekal stabil dengan 32 peratus mengunjurkan pelaburan yang lebih tinggi serta meningkat sedikit daripada 30 peratus sebelumnya.
"Peratusan responden yang mempunyai jangkaan pelaburan stabil susut kepada 52 peratus. Indeks pelaburan modal yang dijangkakan kekal pada 116, menandakan keyakinan berhati-hati terhadap pengembangan," kata Soh.
-- BERNAMA
