Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata negara pada masa ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 450 tan biji koko setahun, berbanding sekitar 20 tahun lepas kira-kira 300,000 tan setahun.
Beliau berkata negara mengimport kira-kira 500,000 tan biji koko setahun bagi memenuhi permintaan dalam negara untuk diproses dan menghasilkan produk untuk eksport, memperlihat potensi besar komoditi tersebut.
"Industri koko Malaysia perlu diberi fokus dan tumpuan untuk mengembalikan tanaman ini kerana industri ini kini berkembang begitu besar dengan saiz pasaran dalam negara dianggarkan mencecah RM12 billion.
"Kita menjemput bukan sahaja pekebun kecil tetapi kita minta syarikat besar untuk terlibat dalam penanaman koko ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah, dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasin.
Johari berkata sekitar 20 tahun dahulu juga ramai pemain industri dan pekebun kecil memilih untuk menanam kelapa sawit menyebabkan kekurangan tanaman koko di negara ini.
"Mana koko tak dapat (hasil memuaskan) dia tutup, tanam kelapa sawit. Maka hari ini kita mahu beri penerangan bahawa perlu ada kepelbagai produk bukan hanya kelapa sawit. Koko ini komoditi betul-betul kendalikan boleh jadi eksport tinggi kepada negara," katanya.
Beliau berkata tanaman koko di negara ini pernah berdepan pelbagai masalah antaranya serangan penyakit dan tiada perhatian intensif bagi menyelesaikan masalah ini, namun situasi berbeza ketika ini.
"Sekarang dengan teknologi baharu banyak penyakit ini dapat dipulihkan dan mengeluarkan hasil koko lebih banyak, ini boleh menjadi sumber eksport yang besar kepada negara pada masa akan datang," katanya.
Menurutnya pemain industri dan pekebun kecil juga perlu mengambil kesempatan dengan harga koko yang tinggi sekarang dengan menyertai penanaman komoditi itu.
"Koko ini bahan mentah...ia boleh hasilkan macam-macam produk bernilai tinggi, kementerian juga menumpukan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan ke arah ini terutama apa sahaja penyakit kita jumpa dapat diatasi dengan hasilkan koko serta benih mutu tinggi antaranya di Borneo ini," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)