Bercakap dalam program "Diplomatic Dispatch" terbitan Bernama TV baru-baru ini, Ilham menekankan penglibatan Malaysia merentasi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertukaran budaya, mencerminkan komitmen jangka panjang untuk mewujudkan kerjasama yang bermakna.
"Saya berbangga bagi pihak Malaysia dapat membantu mengembalikan kegemilangan Uzbekistan.
"Siapa tahu, mungkin pada masa depan akan lahir saintis hasil daripada industri dan kolaborasi Malaysia," katanya.
Kenyataan Ilham dibuat susulan lawatan rasmi Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia awal Februari lalu, yang merupakan lawatan pertamanya sejak memegang jawatan pada 2016.
Lawatan itu menjadi detik penting dalam hubungan dua hala kerana ia merupakan pertemuan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara dalam tempoh hampir dua dekad.
"Lawatan oleh Presiden Uzbekistan sendiri adalah satu pencapaian penting kerana hampir 20 tahun tiada interaksi rasmi pada peringkat tertinggi. Ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala kita," kata Ilham.
Sepanjang lawatan itu, Malaysia dan Uzbekistan mengesahkan komitmen untuk memperluas kerjasama, dengan syarikat dari kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, perbankan Islam, perikanan, keselamatan makanan dan ekosistem halal.
"Kerjasama ini dijangka berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang," katanya.
Lawatan Mirziyoyev juga merupakan kunjungan balas selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Uzbekistan pada Mei 2024.
Mengulas lanjut, Ilham menekankan pelan pembangunan strategik Uzbekistan serta kesungguhan kepimpinannya untuk memanfaatkan kepakaran Malaysia.
"Presiden Uzbekistan seorang pemimpin yang berwawasan.
"Beliau mahu membangunkan pelan hala tuju negara dan berminat terhadap kepakaran Malaysia dalam aspek teknikal, perundingan, serta latihan bagi melahirkan tenaga kerja muda yang berkualiti," katanya.
Bagi memastikan kemajuan yang berterusan, Mirziyoyev meminta penilaian berkala terhadap inisiatif dua hala.
"Presiden mahu melihat perkembangan setiap tiga bulan, sama ada dalam bidang perdagangan, perniagaan mahupun pendidikan," jelas Ilham.
Ketika kedua-dua negara berusaha ke arah kerjasama lebih erat, Ilham menekankan kepentingan kepercayaan dalam membentuk perkongsian yang mampan.
"Saya berharap kita dapat membina kepercayaan yang kukuh antara kedua-dua negara," katanya sambil menyuarakan keyakinan terhadap prospek jangka panjang hubungan ini.
Beliau turut menggariskan peningkatan minat pelancong Malaysia terhadap Uzbekistan, yang didorong oleh lawatan peringkat tinggi serta usaha promosi yang berterusan.
"Pelancongan semakin berkembang hasil daripada lawatan Perdana Menteri kita serta promosi yang baik oleh pihak kedutaan," katanya.
Duta itu menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited dalam menjalin kerjasama dengan Uzbekistan dan optimis terhadap peluang yang menanti.
"Kita akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh semangat dan saya sangat teruja," katanya.
Malaysia dan Uzbekistan menjalin hubungan diplomatik pada 21 Februari 1992, tidak lama selepas Uzbekistan mengisytiharkan kemerdekaan susulan pembubaran Kesatuan Soviet.
Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara pertama yang mengiktiraf kedaulatan Uzbekistan.
Pada 1993, Malaysia membuka kedutaannya di Tashkent, manakala Uzbekistan menubuhkan kedutaannya di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)