Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes berkata, ia adalah selaras dengan keperluan kawal selia bagi mencegah penyalahgunaan teknologi dron yang boleh mengancam keselamatan negara seperti aktiviti pengintipan, penyeludupan dan pencerobohan ke kawasan larangan.
Menurutnya, peraturan tersebut bukan sekadar langkah kawal selia tetapi keperluan kritikal dalam menangani risiko penyalahgunaan teknologi dron untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan tegas seperti negara-negara lain termasuk mengenakan hukuman denda yang tinggi serta penyitaan peralatan mereka bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
"Tanpa penguatkuasaan ketat, sebarang pelanggaran keselamatan boleh membawa kepada dasar lebih ketat yang mungkin menjejaskan perkembangan industri dron tempatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group memberitahu, lebih 2,500 insiden melibatkan dron hampir melanggar pesawat dilaporkan badan penerbangan antarabangsa setakat ini.
Namun, kata beliau, negara yang mempunyai program latihan dan pensijilan dron yang ketat, seperti US (FAA Part 107) and Europe (EASA) melaporkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang dron yang lebih rendah.
Jelas beliau, sekiranya Malaysia gagal menguatkuasakan latihan dan pensijilan yang ketat, negara mungkin berisiko tinggi dalam industri dron serantau dan kehilangan peluang ekonomi kepada negara jiran yang mempunyai peraturan lebih ketat dan selamat.
Ujarnya, industri dron global dijangka berkembang kepada AS$54 bilion (RM240 bilion) menjelang 2030 dan Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam sektor ini.
"Namun, sebarang insiden besar yang melibatkan dron atau pelanggaran keselamatan boleh menyebabkan reaksi negatif masyarakat, sekatan ketat dan kehilangan keyakinan pelabur," kata beliau.
Tambah Sri Ganes, penguatkuasaan ketat terhadap permit dan pensijilan bukanlah satu halangan kepada kemajuan, sebaliknya, ia adalah asas kepada pembentukan industri dron yang selamat, profesional dan inovatif.
CAAM baru-baru ini mewajibkan semua pengendali dron termasuk untuk operasi berisiko rendah atau tinggi, aktiviti komersial atau aktiviti rekreasi perlu mendapatkan permit.
Ia termasuklah sebarang dron atau pesawat tanpa pemandu (unmanned aircraft) yang dilengkapi kamera dan terbang bawah paras 122 meter.
