Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohamed Syazwan Osman berkata inisiatif berkenaan bukan saja membantu menstabilkan bekalan air tetapi juga dapat mengurangkan risiko banjir kilat dengan mengawal aliran air permukaan yang berlebihan melalui sistem takungan di rumah dan bangunan.
"Penggunaan air hujan untuk kegunaan bukan minuman seperti menyiram tanaman, mencuci dan sistem tandas dapat menjimatkan kos bil air bagi isi rumah serta premis industri.
"Dengan memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari, kita dapat mengurangkan eksploitasi sumber air konvensional dan pada masa sama memelihara ekosistem," katanya kepada Bernama pada Selasa.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu mengenai kaedah memanfaatkan air hujan bagi memastikan bekalan air mencukupi ketika musim kemarau.
Mengulas perkara itu, Mohamed Syazwan berkata beberapa teknologi boleh digunakan bagi menuai air hujan secara efektif termasuk Sistem Tadahan Air Hujan (RWH) menggunakan bumbung sebagai permukaan tadahan sebelum menyalurkan air ke dalam tangki simpanan yang dilengkapi penapis untuk kegunaan tertentu.
Sistem Penyaringan dan Penulenan juga boleh digunakan bagi menapis air hujan menggunakan teknologi membran atau sistem biologi untuk meningkatkan kualiti sehingga boleh digunakan sebagai air minuman.
Selain itu, integrasi dengan teknologi pintar seperti pengurusan air berasaskan Internet Kebendaan (IoT-based Water Management) membolehkan kawalan dan pengoptimuman penggunaan air hujan berdasarkan keperluan serta ramalan cuaca.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kos permulaan yang tinggi menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan sistem pengumpulan air hujan di negara ini.
"Sistem tadahan air hujan memerlukan pelaburan awal yang mungkin menjadi beban kepada sesetengah isi rumah dan perniagaan. Selain itu, penyelenggaraan yang baik diperlukan bagi mengelakkan pencemaran air serta memastikan sistem beroperasi dengan berkesan.
"Oleh itu, kerajaan perlu merangka garis panduan serta peraturan komprehensif bagi memastikan sistem ini selamat dan berfungsi secara optimum," katanya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran pula berpandangan bahawa air hujan boleh menjadi sumber tambahan bagi menggantikan penggunaan air terawat untuk kegunaan bukan minuman dan kebersihan diri.
Namun, beliau berkata bagi sektor industri atau perniagaan, air hujan dikumpul mungkin perlu melalui proses rawatan sebelum digunakan dalam pemprosesan atau pembuatan kerana ia bukan sumber air bersih yang sesuai untuk kebanyakan proses industri.
Selain itu, beberapa isu lain perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sistem penuaian air hujan, termasuk risiko pembiakan nyamuk serta langkah keselamatan bagi memastikan tangki simpanan tidak mudah diakses oleh kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan atau kemalangan.
"Air hujan di kawasan bandar juga cenderung bersifat asidik, maka bahan dan peralatan digunakan dalam sistem ini perlu sesuai bagi mengelakkan peningkatan kos penyelenggaraan akibat kerosakan yang kerap," tambahnya.
-- BERNAMA
