KOTA BHARU: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda kira-kira 3 pagi tadi mengakibatkan kerosakan kepada lebih 20 daripada 60 khemah di bazar Ramadan berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sekali gus menyebabkan puluhan peniaga mengalami kerugian.

Cuaca buruk itu menyebabkan beberapa khemah menimpa gerai justeru membinasakan barangan dan peralatan perniagaan.

Tinjauan Bernama mendapati para peniaga sedang membersihkan kawasan berkenaan dan mengambil peralatan yang masih boleh digunakan sementara pihak pengurusan bazar melakukan kerja-kerja pembaikan khemah yang rosak.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan peniaga berharap cuaca baik selepas ini.

Penjual ayam goreng, Mohd Fadzil Hassan, 42, yang baru memulakan perniagaan tahun ini menyifatkan insiden itu sebagai cabaran yang tidak diduga.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira lebih 25 buah khemah yang musnah namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. - Foto Bernama


"Saya datang pagi ini menjangkakan untuk berniaga seperti biasa tapi saya terkejut apabila mendapati khemah saya runtuh dan peralatan memasak rosak.

"Saya masih belum berjaya dapat semula modal dan ini pula berlaku. Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di bazar Ramadan ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penjual martabak Mohamad Naim Zainal, 38, berkata beliau hanya menyedari kejadian itu selepas melihat gambar dalam kumpulan WhatsApp.

"Saya bangun, periksa telefon dan melihat gambar khemah runtuh. Saya terkejut melihat gerai saya turut terjejas. Saya segera datang untuk menilai kerosakan," katanya.

Mohamad Naim mendapati sebahagian khemahnya diterbangkan angin dan beberapa peralatan memasak rosak terkena air hujan.

-- BERNAMA