Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Indah Aryani, 36, dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia bagaimanapun membayar denda itu.
Tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu ketika semakan dibuat terhadap kad pengenalan yang dimiliki, iaitu atas seorang penama, semasa operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang di Lot 24 Lorong Pak Mahat Kampung Kempadang di sini kira-kira 11 malam, Ahad lepas.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pahang Burhanuddin Hamzah dan Penolong Pegawai Pendakwa Mohd Nurhisyam Mohd Sofian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Burhanuddin memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada wanita terbabit dan masyarakat demi keselamatan serta kedaulatan negara.
Wanita itu bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan menyara empat anak dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Mengikut fakta kes, ketika operasi dilaksanakan JPN, wanita itu telah menyerahkan pasport Indonesia atas nama Indah Aryani, namun selepas semakan cap jari dibuat nama tertuduh merujuk kepada seorang penama lain.
Siasatan lanjut oleh JPN mendapati, wanita itu telah mengaku membeli sijil kelahiran atas nama penama berkenaan dan menggunakan dokumen itu untuk mendapatkan kad pengenalan.
-- BERNAMA