KUALA LUMPUR: Selama ini, persaraan melambangkan era keemasan dalam kehidupan seseorang pekerja yang menandakan masa untuk mereka berehat dan meraih manfaat daripada hasil kerja keras selama berdekad-dekad.

Namun begitu, impian ini kian menghilang bagi kebanyakan orang kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dan simpanan yang tidak mencukupi telah memaksa ramai orang untuk menangguhkan persaraan mereka.

Menurut Yeah Kim Leng, felo kanan dan pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara di Universiti Sunway, penyebab utama persaraan tertangguh dalam kalangan rakyat Malaysia adalah simpanan yang tidak mencukupi ditambah dengan kenaikan kos sara hidup.

"Pendapatan tidak terjamin adalah isu penting bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya memandangkan gaji yang tidak berubah dan ketaksamaan pendapatan.

"Faktor-faktor ini, ditambah dengan inflasi perubatan yang tinggi dan peningkatan jangka hayat, mewujudkan tekanan kewangan yang mendorong ramai orang untuk melanjutkan tahun bekerja mereka," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.



Cabaran ekonomi di sebalik penangguhan persaraan

Tinjauan Sun Life Malaysia baru-baru ini mendapati 18 peratus bukan pesara telah menangguhkan persaraan mereka berbanding hanya enam peratus pesara, dengan memetik keperluan untuk lebih banyak menyimpan (64 peratus), perbelanjaan sara hidup yang lebih tinggi (56 peratus) dan keinginan untuk kekal aktif secara fizikal dan mental (44 peratus) sebagai antara sebab utama penangguhan.

Kaji selidik "Retirement Reimagined" itu melibatkan 502 responden di Malaysia dan lebih daripada 3,500 orang dari tanah besar China, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Ketua pegawai eksekutif dan presiden/ketua negara Sun Life Raymond Lew berkata jumlah besar rakyat Malaysia yang menangguhkan persaraan itu jelas menunjukkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh ramai individu dalam merancang tahun persaraan.

Ini, katanya, menyokong keperluan mendesak bagi pendidikan literasi kewangan dan strategi simpanan jangka panjang untuk membolehkan pekerja bersara dengan selesa.

"Golongan muda Malaysia paling menerima kesan, dengan 59 peratus menyatakan peningkatan kos sebagai kebimbangan utama, berbanding hanya 29 peratus oleh pesara," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Yeah berkata, isu tersebut diburukkan lagi oleh keadaan gaji yang tidak berubah dan ketaksamaan pendapatan.

"Gini coefficient -- indeks pengukur ketaksamaan pendapatan dalam sesebuah negara atau penduduk -- sebahagian besarnya kekal tidak berubah, dan kadar kemiskinan relatif telah meningkat berdasarkan ukuran pendapatan terkini.

"Sekiranya tidak ditangani, Malaysia berisiko berdepan krisis kemiskinan pada usia tua," katanya.

Sementara itu, menurut kaji selidik tersebut, inflasi perubatan di Malaysia, yang kini berada pada 12.6 peratus, atau lebih dua kali ganda purata global, menambahkan lagi tekanan kewangan.

Yeah memberi amaran pesara mungkin akan banyak bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam kerana penjagaan kesihatan swasta menjadi semakin mahal, yang berpotensi membebankan hospital dan klinik kerajaan.

Untuk menangani perbelanjaan perubatan yang semakin meningkat, Sun Life Malaysia telah memperkenalkan pelan simpanan takaful yang inovatif seperti "Sun Secure Saver-i", menawarkan aliran pendapatan tetap dan fleksibiliti untuk pesara, kata Lew.

Selain itu, produk seperti "Prime Medi Care Plus-i" menggabungkan ciri pembayaran bersama untuk menyeimbangkan antara kemampuan dengan perlindungan menyeluruh.

Lew menekankan kepentingan perkongsian awam-swasta untuk mengatasi cabaran itu.

"Program seperti Perlindungan Tenang oleh Bank Negara Malaysia dan 'i-Mula 50 Starter Pack Insurance Fund' oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia bertujuan memberikan perlindungan kewangan asas kepada kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk golongan B40," katanya.



Keperluan Literasi Kewangan

Menurut tinjauan Sun Life Malaysia, literasi kewangan merupakan halangan utama untuk persediaan persaraan, dengan 53 peratus rakyat Malaysia menangguhkan perancangan persaraan sehingga lima tahun atau kurang daripada tempoh itu sebelum mereka meninggalkan dunia pekerjaan, manakala 15 peratus tidak membuat sebarang perancangan.

Menyedari hal itu, sebuah penyedia insurans hayat dan takaful keluarga melancarkan Kempen "InsureLit" untuk menggalakkan literasi kewangan di seluruh negara, dengan inisiatif itu merangkumi program penerangan di sekolah, permainan literasi kewangan, dan kempen digital yang bertujuan memupuk perancangan awal dan tabiat simpanan yang disiplin.

Lew berkata literasi kewangan perlu dimulakan dari peringkat usia muda, seperti kejayaan program di sebuah sekolah rendah di Lembah Klang yang menjangkau lebih 600 pelajar menerusi bimbingan mengenai pendapatan, simpanan, dan melindungi wang.

Sementara itu, Yeah mencadangkan beberapa langkah dasar untuk mengatasi persaraan yang tidak terjamin termasuk menaikkan umur persaraan secara berperingkat daripada 60 tahun ketika ini serta menjajarkan umur bagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan trend jangka hayat.

"Umur bagi pengeluaran KWSP perlu diselaraskan daripada 55 kepada 60 tahun untuk mencerminkan jangka hayat yang lebih panjang.

"Kedua-dua langkah jangka masa pendek yang penting ini perlu disokong dengan penyusunan semula skim simpanan persaraan, daripada jumlah pengeluaran sekali gus kepada skim anuiti yang memberikan pendapatan bulanan kepada pesara," katanya.

Beliau berkata selain itu, dengan mengukuhkan caruman gaji untuk persaraan, kesihatan dan perbelanjaan sosial lain, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan lantai pendapatan minimum seperti yang dilaksanakan di negara lain dengan golongan warga emas menerima pindahan tunai bulanan sebagai tambahan.



Dalam Melangkah ke Hadapan

Yeah berkata literasi kewangan dan perancangan persaraan yang proaktif menjadi semakin lebih penting berbanding era sebelum ini, memandangkan Malaysia menghadapi cabaran peningkatan populasi menua dan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata perlunya usaha bersama oleh kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat sivil untuk mewujudkan sistem persaraan yang mampan.

"Kita perlu mentakrifkan semula persaraan yang terjamin dan baik, memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati usia emas dengan keyakinan," katanya.

Lew turut senada dengan sentimen yang sama menggesa rakyat Malaysia supaya merancang lebih awal dan menyimpan secara konsisten.

"Memastikan kesejahteraan golongan warga emas kita adalah cabaran bersama serta peluang untuk memperkasakan generasi masa depan menikmati usia emas mereka dengan terjamin dan tenang," katanya.

-- BERNAMA