PUTRAJAYA: Kesesakan di Klinik Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, Selangor dikenal pasti berpunca daripada peningkatan pesakit susulan yang tidak hadir temu janji pada Selasa minggu sebelumnya.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berikutan hari kelepasan am sempena Thaipusam pada 11 Feb lepas.

Jabatan itu turut memaklumkan siasatan dalaman mendapati terdapat ketidakpatuhan pesakit terhadap sistem jadual masa berperingkat yang telah ditetapkan iaitu sebahagian pesakit hadir awal ke klinik tanpa merujuk kepada waktu temu janji.

"Ada juga dalam kalangan pesakit yang hadir tanpa temu janji," menurut jabatan itu.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan pada 18 Feb lepas bertajuk 'Harap Bersabar, Pesakit 400 Orang', jabatan itu memberitahu dakwaan kekurangan pegawai perubatan juga tidak benar kerana bilangan sumber manusia terkini adalah 26 orang terdiri daripada pakar perubatan kardiologi serta 50 pegawai perubatan, 15 pakar perunding kardiologi dan tiga pakar perunding kardiologi pelatih.

"Dakwaan ini tidak benar. Sekiranya berlaku insiden luar jangka, pihak HSIS akan segera membuat mobilisasi untuk memastikan pesakit menerima perhatian sewajarnya.

"Sebagai sebuah klinik pakar, perkhidmatan pakar di Klinik Kardiologi pada dasarnya disampaikan oleh pakar perunding kardiologi dan pakar perubatan kardiologi, manakala pegawai perubatan adalah penting untuk menyokong perkhidmatan pakar," menurut jabatan itu.

Bagi menambah baik perkhidmatan, jabatan itu memberitahu HSIS akan memperkukuhkan sistem temu janji berperingkat dan perkhidmatan telekonsultasi, step down care ke klinik kesihatan, ujian darah dijalankan di klinik kesihatan terpilih dan menyahpusat rawatan ke enam pusat rawatan jantung di seluruh negara.

"Pesakit dan waris juga dimohon untuk memberikan kerjasama dengan memenuhi masa temu janji berperingkat yang telah ditetapkan," menurut jabatan itu.

Kenyataan itu memaklumkan aplikasi HSISCare yang diguna pakai sejak November 2024 juga telah dimanfaatkan 4,000 pengguna dan dijangka dilancarkan pada 5 Mac ini.

"Sistem ini selari dengan hala tuju pendigitalan perkhidmatan kesihatan yang dibangunkan khas untuk memudah cara urusan pendaftaran secara self check-in untuk temu janji susulan dan memudahkan semakan maklumat peribadi pesakit," menurut jabatan itu.

-- BERNAMA